PETALING JAYA: Baru sahaja program Mentor musim kelima melabuhkan tirai, Ahad lalu, pemenang tempat ketiga, Iqa, 25, sudah dilamar menjadi artis KRU Studios milik adik-beradik Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim.
Bukan Iqa sahaja, seorang lagi bekas peserta Mentor 5, Ayish iaitu protege kepada Noh (Hujan) turut memilih untuk bernaung di bawah syarikat berkenaan.
Bonus kepada Iqa atau nama sebenarnya Nursyafiqah Nasratullah Mohd Nor apabila dia menjadi anak didik kepada Edry sepanjang tiga bulan menyertai program terbitan TV3 itu.
Malah, KRU juga telah menerbitkan cakera padat “single” terbarunya berjudul Di Penghujungnya yang akan diedarkan di stesen radio tempatan.
Edry juga telah mengatur perancangan untuk jangka masa panjang Iqa termasuklah menerbitkan album untuknya.
“Saya sudah mencetak “single” untuk diberikan kepada semua stesen radio terutama Hot FM. Saya juga tidak mempunyai masalah merakam album untuk Iqa.
“Saya melihat dia lebih cenderung menyanyikan lagu berentak pop rock. Selain Iqa, Ayish juga ingin menjadi artis rakaman KRU. Saya juga mengalu-alukan protégé yang lain untuk menyertai kami,” kata Edry sewaktu sidang media di Stadium Malawati, Shah Alam.
Menyorot sebalik kekalahan Iqa yang hanya layak mendapat tempat ketiga, Edry akui persaingan yang diberikan setiap peserta agak sengit.
Bagaimanapun, dia sedikit berpuas hati dengan kedudukan Iqa yang berjaya ke peringkat akhir walaupun pada mulanya dia mendapat kedudukan tercorot.
“Dia sudah melakukan yang terbaik sepanjang tiga bulan ini. Saya tak nafikan agak mencabar juga untuk mendapat tempat di hati penonton,” jelas Edry.
Sementara itu, Iqa terpaksa akur dengan keputusan tersebut walaupun mentornya telah menyediakan latar belakang pentas yang kreatif dan susunan muzik menggunakan orkestra.
“Saya rasa terharu bercampur gembira apabila berjaya ke peringkat akhir. Bagaimanapun saya tak nafikan berasa sedikit kecewa kerana gagal bergelar juara,” ujar Iqa.
Iqa menyanyikan empat buah lagu iaitu Ganas (duet dengan Edry), Ku Mohon, Karma (duet dengan Faizal Tahir) dan Di Penghujungnya (single terbaru).
Dalam Mentor Ahad lalu, Salmah A. Asis,21, atau Salma menjadi juara rancangan itu sehingga melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 serta sebuah kereta Chevrolet Cruz.
Selain Salma, mentornya iaitu Erra Fazira turut mendapat watang tunai dengan jumlah yang sama.
SUMBER :BERITA HARIAN
No comments:
Post a Comment