Pages

Tuesday, May 31, 2011

Bencana Yang Tidak Boleh Ditangani

TSUNAMI telah melanda muka bumi lagi. Kali ini ia berlaku di Jepun selepas gempa bumi berskala 8.9 ritcher. Ia adalah gempa bumi paling teruk dilaporkan di Jepun sejak satu abad yang lampau.

Angka kematian dan kehilangan telah mencecah ribuan. Mereka yang berkumpul di pusat bantuan sementara pula jauh lebih ramai.

Anggaran kos kerosakan di negara itu oleh Bank Dunia mencecah sehingga 237 bilion dolar Amerika. Sudah tentu kita wajar mendoakan yang terbaik untuk penduduk di negara itu – warganegaranya atau mereka yang bukan berasal dari sana. Ia adalah tragedi yang perit untuk dihadapi.

Dalam konteks sejarah, tsunami sangat rapat dengan bangsa Jepun. Ia adalah perkataan Jepun. Secara ringkas ia membawa maksud kumpulan ombak yang berulang. Punca kepadanya pernah dibahaskan oleh ahli sejarah Greek, Thucydides seawal tahun 426 sebelum Masehi.

Beliau berpandangan punca tsunami adalah daripada gempa bumi dalam buku Sejarah Perang Peloponnesian.

Bagaimanapun, sehingga kini masih sukar untuk ditentukan punca sebenar tsunami meskipun gempa bumi diterima sebagai salah satu punca pendorongnya. Kesukaran ini disebabkan sukarnya menentukan kesan gempa kepada lantai laut.

Ia kadangkala berlaku dalam tempoh yang cepat dan juga mungkin lama. Dalam tahun 2004 gempa pada skala berukuran 9.3 rithcer menghasilkan tsunami tetapi magnitud gempa yang berlaku pada skala berukuran 8.7 ritcher setahun kemudian tidak menghasilkan bencana alam sekitar yang sama.

Ini menjadikan tugas memantau dan memberi amaran bencana sukar dilakukan dengan tepat pada waktunya.

Dalam bidang alam sekitar, ada perbezaan jelas antara bencana alam sekitar yang tidak dapat ditangani sepenuhnya oleh manusia dengan masalah alam sekitar yang boleh ditangani oleh manusia. Tsunami termasuk dalam kategori pertama – bencana alam sekitar yang tidak dapat ditangani sepenuhnya oleh manusia.

Sebenarnya, hubungan negara kita dengan Jepun adalah unik. Dari pengaruh Asia untuk orang Asia yang membawa kepada era pendudukan Jepun di semenanjung Tanah Melayu yang disifatkan oleh orang tua kita sebagai kejam, pasca kemerdekaan menyaksikan hubungan berbeza apabila Dasar Pandang Ke Timur dilaksanakan.

Ramai mahasiswa dan pekerja Malaysia dihantar ke negara itu untuk menimba ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang dan balik berkhidmat sebagai profesional serta pakar dalam bidang masing-masing.

Saya hanya pernah sekali ke Jepun dengan tajaan Kelab Rotary Fujisawa-Kajang. Waktu itu saya dan enam orang teman lain telah disaring melalui proses temuduga lawatan sambil belajar dalam bidang berkaitan alam sekitar, khususnya perhutanan.

Saya harus akui bahawa Jepun sangat menarik kerana ia mempunyai banyak perbezaan dengan negara kita dalam pelbagai perspektif. Pengalaman kira-kira satu minggu itu sedikit sebanyak membentuk ‘talian hati’ saya dengan nasib negara itu kini.

Negara kita pernah berdepan dengan tempias tsunami, khususnya di kawasan Teluk Bahang, Pulau Pinang dan kawasan Kuala Muda, Kedah. Saya pernah menulis ringkas di kolum ini berkaitan pengamatan peribadi semasa menyertai bantuan kepada mangsa Tsunami di Kuala Muda, Kedah pada tahun 2004.

Sebahagiannya telah mula diperkatakan di Jepun. Isunya adalah berkisar soal kesihatan, dari kebersihan kawasan, makan-minum, pakaian dan tempat tinggal sementara buat mangsa. Ia adalah isu-isu asas tetapi sangat penting untuk diberi perhatian oleh para sukarelawan.

Dengan pengalaman yang terlalu cetek itu, sedikit sebanyak saya dapat membayangkan betapa hebatnya penangan tsunami di Jepun kini. Di Kedah, rumah batu boleh dirobohkan. Lumpur yang ada setinggi dada.

Kapal nelayan bersaiz lori 3 tan boleh dibawa sejauh lebih kurang dua hingga tiga kilometer dari pantai. Dalam gambar dan video rakaman situasi di Jepun, kita boleh melihat bagaimana dahsyatnya situasi di sana.

Begitulah sedikit sebanyak ‘upaya’ yang boleh dilakukan oleh gelombang besar air. Mungkin gambar situasi Aceh pasca tsunami yang tidak ubah seperti ‘padang jarak padang tekukur’ lebih dekat untuk dijadikan perbandingan dengan situasi di negara matahari terbit itu.

Di kalangan sarjana di Barat, tsunami membuka satu dimensi baru tentang pembuktian Atlantis yang ditenggelami laut sebagaimana dakwaan Plato. Pelbagai laman berita melaporkan tinggi tsunami yang melanda Jepun mencecah sehingga 10 meter!

Namun, sejarah mencatatkan tsunami di Jepun pernah mencecah ketinggian 30 meter dengan kematian menghampiri 30 ribu orang. Di negara yang sama, kejadian gempa bumi juga pernah mengorbankan sekitar 150 ribu orang!

Tidak ada jaminan bahawa Jepun tidak akan menerima ancaman tsunami lagi. Sejarah jelas menunjukkan bahawa negara itu telah beberapa kali berdepan dengan bencana tersebut.

Antara sebab utama yang dikenal pasti ialah kedudukan Jepun dalam Lingkaran Api Pasifik, zon kecil sekitar Lautan Pasifik di mana kejadian gempa bumi dan letupan gunung berapi sering berlaku. 80% daripada gempa bumi yang besar di dunia berlaku di kawasan ini.

Ketika menulis artikel ini rakan di Filipina memaklumkan kejadian gempa bumi di negara tersebut pada magnitud 5.4 – 5.7. Ya, akan datang saya akan cuba menulis sedikit tentang gempa bumi dan juga isu yang berkembang rentetan tsunami ini – nuklear.

AMIN AHMAD, 29 ialah graduan Sains Perhutanan, UPM dengan pengkhususan dalam bidang Pengurusan Taman dan Rekreasi. Beliau merupakan Felo di Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS).

sumber:mstar

No comments:

Post a Comment