Pages

Monday, July 18, 2011

Tiger Woods tetap kaya


APA lagi yang hendak dikatakan mengenai pemain golf, Tiger Woods atau Eldrick Tont Woods ketika ini, selain skandal seksnya dengan berpuluh-puluh wanita, perceraian dan kedudukannya yang jatuh empat anak tangga untuk berada di tempat ke-12 dalam senarai terkini pemain golf terbaik dunia.

Bekas pemain No. 1 dunia itu gagal menyerlah sejak beraksi pada Master Australia 2009 yang menyebabkan dia kehilangan banyak mata ekoran masalah yang dihadapinya, baik di dalam mahupun luar kariernya.

Apabila kehidupan peribadinya terbongkar yang mencetuskan isu sensasi pada penghujung 2009 dan usaha untuk memulihkan rumah tangganya bersama bekas model Sweden, Elin Nordegren, 31, berkecai, Woods, 35, disifatkan hanya tinggal bayang-bayang kepada kehebatan zaman silamnya.

Ekoran itu, Woods yang dilahirkan di Cypress, California, Amerika Syarikat pada 30 Disember 1975 terpaksa membayar £60 juta (RM297 juta) kepada bekas isterinya dalam bentuk penyelesaian tuntutan perceraian pada Ogos tahun lalu.

Jelitawan tinggi lampai itu berkeras untuk bercerai selepas hilang semua kepercayaan terhadap Woods yang menjalin hubungan sulit dengan ramai wanita yang belum dipastikan jumlah rasminya.

Perceraian mereka disifatkan antara yang termahal dalam sejarah dan Woods terpaksa menanggung kos tersebut.

Woods berkahwin dengan Nordegren pada Oktober 2004 di Barbados dan dikurniakan anak perempuan, Sam yang kini berusia empat tahun dan anak lelaki, Charlie, dua tahun.

Lelaki yang mengaku sepanjang perkahwinannya hidup dalam kepura-puraan ini melalui tempoh paling getir dalam hidupnya, apabila skandal seks dan kecurangan beliau didedahkan media pada November 2009.

Dunia mula mengetahui mengenai ketagihan seks Woods selepas kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar pokok pada awal pagi, ketika penduduk menyambut Hari Kesyukuran.

Kereta Woods terbabas apabila beliau memandu dalam keadaan kelam-kabut selepas dikatakan bertengkar dengan Nordegren.

Selepas peristiwa itu, seorang demi seorang wanita tampil mendedahkan skandal seks mereka dengan Woods, termasuk pelayan kelab malam, pelakon filem lucah dan jiran di kediamannya.

Sungguhpun begitu, siri kegagalannya itu tidak menjejaskan pendapatannya. Hilang isteri, kisah peribadinya dijaja dan dicemuh seluruh dunia serta namanya mulai tenggelam dari peta persaingan golf dunia, tetapi beliau terus kaya.

Woods kini mendahului senarai atlet yang memperoleh pendapatan tertinggi di dunia, walaupun tidak pernah memenangi sebarang kejohanan sejak November 2009.

Meskipun jumlah pendapatan tahunan Woods merosot sebanyak AS$50 juta (RM150 juta) dalam tempoh dua tahun lalu, tetapi dia tetap menduduki tangga teratas senarai 50 atlet terkaya di dunia yang diterbitkan oleh Majalah Forbes baru-baru ini.

Beliau direkodkan memiliki pendapatan berjumlah AS$75 juta (RM226 juta) dalam tempoh 12 bulan lalu. Tempat kedua diduduki bintang NBA, Kobe Bryant dengan pendapatan berjumlah AS$53 juta (RM159 juta).

Senarai tersebut bukan setakat mengambil kira gaji pemain, tetapi termasuk pendapatan sampingan dan tajaan yang diterima.

Woods sebelum ini pernah menjadi atlet pertama memperoleh pendapatan berjumlah AS$1 bilion (RM3 bilion) sebelum berhadapan kejatuhan karier ekoran pendedahan skandal seksnya pada 2009.

Syarikat minuman Gatorade, perkhidmatan korporat perniagaan Accenture dan firma telekomunikasi AT&T adalah penaja terawal yang menamatkan tajaan dengan Woods yang satu ketika dahulu pernah disifatkan sebagai model contoh paling bersih.

Berikutan pengakuan Woods kepada umum bahawa beliau curang terhadap isterinya, jenama penjagaan lelaki Gillete dan pengeluar jam mewah, Tag Heuer dilaporkan turut menjauhkan diri daripadanya yang kini dikatakan menjalin hubungan dengan anak tiri Pengerusi Glasgow Rangers, Alastair Johnston, eksekutif di IMG yang mewakili pemain golf itu.

Ekoran itu beliau dilaporkan kerugian £22 juta (RM109 juta) selepas digugurkan daripada beberapa tajaan besar berkaitan.

Malah, gergasi kereta, General Motors dikatakan turut bertindak menamatkan kontrak dengan Woods yang membenarkan beliau menggunakan kenderaan syarikat berkenaan secara percuma.

Walaupun kehilangan penaja-penaja itu, namun beliau berjaya mengekalkan tajaan Nike dan EA Sports, sekali gus menyumbang separuh daripada jumlah pendapatannya untuk tempoh 12 bulan lalu berakhir 1 Mei lalu.

Permainan video golf yang menggunakan namanya turut mendapat jualan tinggi pada tahun ini ekoran menjadi permainan video pertama yang menampilkan Augusta National Golf Club, yang mengumpulkan jaguh-jaguh Master.

Begitupun, amat menghairankan, walaupun muncul sebagai atlet yang mempunyai pendapatan tinggi di dunia, Woods tetap menyifatkan dua tahun kebelakangan ini beliau berada dalam krisis kewangan!

sumber:utusan malaysia online

No comments:

Post a Comment