Pages

Monday, July 18, 2011

Tiga gol jadi azimat


SINGAPURA seharusnya berwaspada kerana Harimau Malaya sudah berada dalam landasan tepat untuk kembali mempamerkan rentak sama ketika menjulang Piala AFF buat kali pertama penghujung tahun lalu.

Hakikat itu diakui kapten Harimau Malaya, Mohd Safiq Rahim yang membimbing rakan sepasukan untuk mempamerkan satu persembahan positif menentang gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin walaupun tewas dengan keputusan 3-6.


Tiga gol yang menggegar gawang lawan pastinya menjadi azimat bermakna untuk anak-anak buah ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal untuk terus mempamerkan peningkatan apabila menentang musuh tradisi itu di Stadium Jalan Besar, Sabtu ini pada aksi pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia.

“Walaupun gagal mencipta kemenangan, tiga gol yang dijaringkan sudah cukup untuk menaikkan moral semua pemain terutamanya selepas tewas 0-4 kepada Arsenal,” kata Mohd Safiq ketika ditemui pemberita selepas aksi persahabatan kelmarin itu.


Perancang tengah skuad negara itu turut menegaskan, fokus mereka kini adalah untuk membawa bekalan selesa menjelang perlawanan pertama di tempat lawan sebelum menanti kunjungan Lions di Stadium Nasional, lima hari selepas itu.


Pada aksi yang disaksikan kira-kira 80,000 penonton itu, Mohd Safiq turut mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan percuma cantik dari luar kotak penalti pada minit ke-43 sekali gus mengulangi jaringannya di Taiwan tempoh hari selepas Charlie Adam menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-24.

Dua lagi gol dijaringkan oleh penyerang Pelita Jaya FC, Mohd Safee Sali untuk membolehkan Harimau Malaya merapatkan kedudukan 3-4 sebelum kealpaan barisan pertahanan membolehkan Liverpool menjaringkan dua gol pada lewat permainan.


“Dari sudut positif kami sememangnya belajar dari pengalaman lalu (penalti), kami berjaya bangkit untuk mendapat gol penyamaan berbanding ketika menentang Arsenal tempoh hari,” katanya.



Mengulas mengenai tiga perlawanan berturut-turut yang menyaksikan barisan pertahanan Harimau Malaya memberikan sepakan penalti kepada lawan, Mohd Safiq berkata, mungkin mereka agak terburu-buru namun perancang tengah Selangor itu berharap kelemahan yang ada mampu diatasi dalam tempoh yang ada sebelum menentang Singapura.
aumber:mymetro

No comments:

Post a Comment