Pages

Saturday, June 4, 2011

Bayi Enam Bulan Maut Akibat Tersedak Makanan

KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia semalam akibat tersedak, sehari selepas mengalami muntah selepas diberi makan oleh ibunya di rumah mereka di Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Supritendan Aida Abdul Hamid berkata laporan bedah siasat mendapati bayi itu mati akibat tersedak susu bercampur makanan.

Bayi malang itu, Rania Batrisyia Zulazmi, meninggal dunia kira-kira 3.30 petang Jumaat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dekat sini, katanya kepada Bernama ketika dihubungi Sabtu.

Sementara itu, nenek bayi itu, Ramlah Baba, 63, berkata dia dimaklumkan bahawa cucunya muntah dan tidak bermaya selepas diberi makan oleh ibunya pada Khamis sebelum dihantar ke klinik berhampiran untuk rawatan.

"Namun, doktor di klinik itu mengesahkan cucu saya tidak mengalami tanda tersedak makanan," katanya kepada pemberita di PPUM di sini Sabtu.

Beliau berkata cucunya itu dihantar bapanya ke rumah pengasuh berhampiran dengan rumah mereka, semalam.

"Kira-kira 12 tengah hari semalam, pengasuh cucu saya menghubungi menantu saya dan memaklumkan bahawa Rania dihantar ke PPUM setelah mendapati badannya sudah tidak bermaya sebelum disahkan meninggal dunia," katanya.

Rania Batrisyia adalah anak tunggal pasangan itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment