Pages

Monday, May 30, 2011

Nadal mara ke suku akhir

2011/05/31
Djokovic tempah tiket ke separuh akhir tanpa perlu menghayun raket

PARIS: Juara lima kali, Rafael Nadal mara ke suku akhir Terbuka Perancis semalam tatkala pencabar kejuaraan, Novak Djokovic menikmati rangsangan psikologi apabila mendapat kemaraan percuma ke separuh akhir.

Pilihan utama, Nadal mara selepas mencatat kemenangan 7-5, 6-3, 6-3 ke atas pemain veteran Croatia, Ivan Ljubicic dan bakal berdepan pemain yang sering menjadi badinya di Roland Garros, Robin Soderling, satu-satunya pemain yang pernah menewaskan jaguh Sepanyol itu di Paris dalam 43 permainan.
Pilihan kedua, Djokovic menempah tempat di separuh akhir tanpa perlu menghayun raket apabila lawannya untuk pertembungan di suku akhir, Fabio Fognini terpaksa menarik diri akibat terkoyak otot paha kiri.

Pemain Itali berusia 24 tahun itu yang dijadual beraksi di suku akhir Grand Slam pertama dalam kariernya mengalami kecederaan dalam pertarungan lima set ketika mencatat kemenangan di pusingan keempat ke atas Albert Montanes kelmarin.

“Ia keputusan paling sukar yang saya pernah lakukan. Ia adalah suku akhir Grand Slam pertama saya dan saya bermain tenis yang terbaik sepanjang karier.
Bagaimanapun, ini adalah keputusan terbaik,” kata Fognini, pemain Itali pertama mara ke suku akhir di Paris sejak Renzo Furlan pada 1995.

“Saya menangis malam tadi. Saya mendapatkan rawatan dan membuat keputusan untuk menarik diri. Saya mempunyai satu lagi ujian imbasan pagi ini dan kita tahu jika bermain akan menambah lagi kecederaan paha kiri. Ia adalah sangat berisiko. Tetapi, inilah sukan, ini adalah tenis.”
Djokovic terpaksa menanti untuk mengetahui lawannya pada separuh akhir. Gael Monfils dan David Ferrer masih belum melengkapkan perlawanan mereka di pusingan 16 terbaik yang ditangguhkan petang kelmarin, yang mana pemenang bakal bertemu Roger Federer di suku akhir.

Pemenang perlawanan itu akan berdepan pemain nombor dua dunia dari Serbia itu pada Jumaat untuk penentuan tempat ke final. - Agensi
sumber:berita harian

No comments:

Post a Comment